Thursday, February 11, 2016

Kata Aluan Setiausaha


Salam sejahtera,

               Terlebih dahulu saya mengucapkan terima kasih kepada tuan Pengerusi JKKK Kg Bakong, Oya, Encik Mohd Senusi @Mohd Saupi Brahim kerana memberi kepercayaan untuk menggalas tanggungjawab sebagai Setiausaha JKKK bagi sesi 2016-2018. Bagi saya, tugas ini amat penting dalam sesebuah JKKK sebagai pembantu pengerusi dalam urustadbir dan pengurusan dokumentasi yang menjadi penghubung kepada pelbagai pihak. Sudah pasti banyak cabaran namun bagi memastikan perlaksanaan tugas dapat dilakukan maka ia semestinya perlu dihadapi dengan baik.

Justeru itu, dalam tempoh 3 tahun akan datang banyak pengalaman yang akan dapat ditimba dan semestinya juga banyak pembaharuan bakal dilakukan dengan kerjasama AJK JKKK yang lain. Ini bukan kerja perseorangan, bagi menjayakannya perlu diusahakan secara berpasukan dan kadang-kadang keputusan perlu diputuskan segera tanpa menghiraukan suara-suara sumbang yang berkumandang.

Jika tidak demikian, satu kerja dan usaha pun takkan menjadi dan ia boleh merencatkan proses pembangunan dan kemajuan kampung dan komuniti. Oleh yang demikian, terlebih dahulu saya mengucapkan jutaan terima kasih atas kerjasama yang bakal diberikan oleh semua AJK JKKK dan penduduk kampung.

Salah satu daripada pembaharuan awal yang bakal saya akan usahakan adalah mewujudkan laman blog ini, sebagai wacana untuk memaparkan hasil-hasil pembangunan yang diusahakan oleh JKKK Kg Bakong serta aktiviti-aktiviti yang dilakukan bersama-sama dengan penduduk kampung, sama ada di peringkat komuniti setempat mahupun komuniti luar.

Dengan ini, mana-mana warga Kg Bakong yang jauh di perantauan dapat mengikuti perkembangan aktif di kampung dan ini sudah tentu dapat memberi keyakinan untuk mereka turut bersama-sama memberi sumbangan setakat yang mampu sama ada dari segi kewangan dan tenaga (apabila balik ke kampung halaman) dalam membantu meningkatkan lagi proses pembangunan dan kemajuan Kg Bakong.

Malah, pihak luar dan mereka yang berkenaan juga boleh melihat hasil pembangunan dan kemajuan yang telah dicapai di Kg Bakong. Secara tidak langsung melaporkan aktiviti-aktiviti yang telah dilakukan bersama oleh JKKK dan penduduk kampung. Dengan kemajuan teknologi maklumat dan perubahan zaman, generasi Y turut memainkan peranan penting bagi memperbaiki fungsi dan pendekatan JKKK. Idea baru daripada generasi muda perlu diterapkan bersama dengan pengalaman "orang lama" supaya tidak ketinggalan dari arus pembangunan yang semakin pesat dan pantas pada masa akan datang.

Akhir kata, semoga dengan usaha ini dapat memberi manfaat bukan saja kepada JKKK dan penduduk Kg Bakong, malah mereka yang turut terlibat secara langsung dan tidak langsung. Sekali lagi saya dahului dengan jutaan terima kasih atas lantikan ini serta kerjasama yang akan diberikan oleh AJK JKKK dan penduduk kampung.


HAIRY BIN NAWI
Setiausaha JKKK Kg Bakong, Oya
Sesi 2016-2018


"Berakar Padi Bersatu Hati"



Visit Our Partner Page : Haris Reload Group

No comments:

Post a Comment